Latar belakang DTP

Malaysia telah mencapai kejayaan sejak kemerdekaan melalui peluasan akses kepada pendidikan dan peningkatan standard, terutama dari segi penguasaan literasi dan  penyertaan murid di sekolah. Walaubagaimanapun, jurang pencapaian antara sekolah bandar  dan luar bandar, murid lelaki dan perempuan, serta jurang pencapaian berdasarkan latar belakang sosioekonomi masih signifikan dan menjadi penyebab jurang ekuiti yang besar. 

Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi. Setiap sekolah, tanpa mengira lokasi, saiz atau jenis, akan menyediakan pendidikan yang baik dan holistik kepada murid. 

Sekolah memerlukan set intervensi yang berlainan supaya bersesuaian dengan tahap prestasi sekolah yang berbeza-beza. Amalan pengurusan negeri dan daerah yang baik menjadi kunci untuk meningkatkan pencapaian sekolah secara ketara dan mengekalkan jurang pencapaian yang kecil antara sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah berprestasi rendah. Sistem pendidikan berprestasi tinggi termasuk Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom turut menunjukkan  bahawa kejayaan transformasi pendidikan dipacu oleh perubahan melalui lapisan pertengahan yang berkesan, iaitu lapisan pengurusan antara Kementerian dengan sekolah. 

Anjakan keenam yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memberi penekanan kepada pengupayaan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Pemimpin negeri, daerah dan sekolah mempunyai lebih kuasa untuk membuat keputusan berkenaan operasi harian dan intervensi khusus mengikut konteks sekolah dan membolehkan pengurusan berasaskan sekolah yang lebih luas. 

Pada 2010, Kementerian melancarkan Program Peningkatan Sekolah (SIP) di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan. Program Peningkatan Sekolah menyediakan sokongan bersasaran kepada sekolah Band 6 dan 7 melalui pembimbing pengetua/guru besar, dan guru serta peningkatan pemantauan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meningkat prestasi sekolah. Kejayaan Program Peningkatan Sekolah mengesahkan kepentingan menyasarkan sekolah berprestasi rendah. 

 

Usaha ini diteruskan melalui Program Transformasi Daerah (DTP) dengan memberi tumpuan kepada lebih pengupayaan dan kebertanggungjawaban kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD. Kedua-dua organisasi ini berada di barisan hadapan dan paling hampir dengan sekolah. Maka, mereka berada dalam kedudukan yang paling baik untuk membantu sekolah. Program Transformasi Daerah memberi tumpuan kepada sekolah berprestasi rendah termasuk murid berkeperluan khusus untuk memacu prestasi sekolah.

 

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com