Peranan Coaching Dalam Rivitalisasi Pendidikan Abad Ke-21 (Bahagian 2)

Peranan baharu pemimpin sekolah

Organisasi yang berjaya sering dikaitkan dengan kualiti kepimpinan pengurusannya. Pemimpin merupakan agen perubahan yang penting dalam menyatupadukan warganya untuk mencapai wawasan sesebuah organisasi. Kini, kelangsungan hayat dan keberkesanan sesebuah organisasi sangat bergantung kepada pemimpinnya menangani cabaran baharu untuk berubah selari dengan kehendak masa dan persekitaran (JPNJ, 2009).  

Sekolah sebagai sebuah organisasi pendidikan juga tidak dapat lari daripada desakan ini. Kecemerlangan organisasi sekolah banyak bergantung kepada amalan kepimpinan dan budaya kerja pemimpinnya dalam usaha untuk membangunkan profesionalisme guru-guru dan seterusnya meningkatkan prestasi sekolahnya. Hal ini kerana, pengetua dan guru besar merupakan pemimpin organisasi pendidikan yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan matlamat pembangunan sekolah iaitu ke arah mewujudkan sekolah yang cemerlang secara holistik. 

Oleh itu, pemimpin sekolah merupakan individu yang berperanan sebagai key player dalam membuat usaha penambahbaikan terhadap sekolah dan seterusnya melestarikannya (Abdul Ghafar Mahmood, 2011). Namun demikian, peranan kepimpinan yang seringkali diabaikan tetapi memberi impak yang besar terhadap pembangunan organisasi sekolah adalah aspek pembangunan sumber manusia. Timbalan KPPM iaitu Dr Amin Senin (2015) menjelaskan isu tersebut dengan menyatakan: 

Among the least attended school leadership role is developing people to drive performance in order to transform the business or organization

Oleh itu, bagi tujuan membangunkan barisan pemimpin pertengahan dan guru-guru, pemimpin sekolah perlu menggunakan kaedah coaching kerana ia didapati sesuai dan berkesan. Coaching merupakan satu makanesme pembangunan individu yang sangat popular. Menurut Neufeld dan Roper (2003), coaching yang dilaksanakan melalui kerjasama secara profesional merupakan satu model pembangunan profesional yang dilakukan secara on-site dengan tumpuan diberi terhadap isu-isu dan kebimbangan berkaitan pengurusan, kepimpinan dan instruksional. Kajian oleh Burk (2010) di Jackson, Mississippi mendapati bahawa pelaksanaan school-based coaching telah memberi impak terhadap kapasiti kepimpinan instruksional pemimpin pertengahan di sekolah dan seterusnya terhadap guru-guru dan program penambahbaikan sekolah.

 Sehubungan itu, bermula pada tahun 2017, Standard Prestasi PAK21 yang terkandung dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia bagi gelombang 2 (SKPMg2) ini turut berubah selari dengan kehendak semasa. Hal ini kerana, landskap pendidikan masa kini mengalami perubahan yang ketara seiring dengan perubahan yang berlaku dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Perubahan ini menuntut agar pemimpin di sekolah harus bertindak selaku peneraju, pembimbing dan pendorong dalam semua program dan aktiviti di sekolah.

Bagi melaksanakan peranan baharu ini terutama sebagai pembimbing dan pendorong, pemimpin sekolah perlu menggunakan kaedah coaching untuk meningkatkan kecekapan individu dan kualiti pengurusan sekolah. Pemimpin sekolah perlu menggunakan coaching untuk memberi bimbingan, panduan, maklum balas dan pendedahan berkaitan tugas kepada pemimpin pertengahan seperti Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) dan Ketua Panitia (KP) serta guru-guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP) mengikut keperluan, secara jelas, profesional, menyeluruh dan terancang dari semasa ke semasa.

 

Coaching 

Berdasarkan sejarah, perkataan bahasa Inggeris ‘coach’ adalah berasal daripada perkataan ‘kocsi’ yang digunakan oleh orang Hungary seawal tahun 1556 bermaksud ‘carriage’ atau ‘wagon’ dalam bahasa Inggeris iaitu ‘pedati’ atau ‘gerabak’ dalam bahasa Melayu (Merriam Webster Dictionary, 2015). Sementara dalam arena pendidikan, perkataan ‘coach’ mula digunakan di Oxford University seawal tahun 1830an bagi menerangkan tindakan tutor yang membantu pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan atau ujian  (Evered dan Selman, 1989). 

Konsep coaching mula berubah dengan peredaran zaman daripada membawa maksud asal seperti di atas kepada konsep kejurulatihan dalam sukan sehinggalah kepada peranan penyelia dan pengurus dalam industri untuk membimbing pekerja bawahannya menjadi lebih produktif (Coe, Zender dan Kinlaw, 2008). 

Pada tahun 1980an, ide tentang executive coaching mula diterima pakai dalam program-program pembangunan kepimpinan. Pada peringkat awal penggunaannya, executive coaching merujuk kepada pendekatan coach membimbing para eksekutif secara bersemuka dalam usaha untuk membantu meningkatkan prestasi kerja pemimpin atasan. Biasanya coaching dilaksanakan oleh coach dari luar organisasi (Judge dan Cowell, 1997). 

Pada hari ini, pendekatan coaching telah digunakan di banyak organisasi dalam pelbagai  industri termasuklah sektor pendidikan. Namun, taarifan tentangnya agak pelbagai dan berbeza-beza. Coe et al. (2008) menyatakan bahawa coaching yang berjaya melibatkan  satu sesi perbualan yang dilaksanakan melalui satu proses yang logikal bagi membolehkan penemuan kendiri berlaku dan seterusnya meningkatan prestasi dan komitmen terhadap pembangunan lestari dan hubungan yang positif, manakala International Centre for Coaching in Education (2014) mendefinisikan coaching sebagai: 

“A one-to-one conversation focused on the enhancement of learning and development through increasing self-awareness and a sense of personal responsibility where the coach facilitates the self-directed learning of the coachee through questioning, active listening and appropriate challenge in a supportive and encouraging climate.”

Sementara itu, Reiss (2007) pula mengaitkan definisi coaching dengan konsep perubahan. Menurut beliau, coaching merupakan satu bentuk bantuan dan bimbingan untuk membangunkan aspek professional dan peribadi seseorang individu bagi membolehkan beliau berupaya melalui proses perubahan yang dilaksanakan. Ringkasnya, definisi coaching yang agak menyeluruh melibatkan aspek bantuan dan bimbingan terhadap coachee dalam pelbagai aspek bagi meningkatkan hubungan, prestasi dan produktiviti organisasi (Coe et al., 2008; Fournies, 2000; Lochmiller dan Silver, 2010). 

Sehubungan itu, coaching yang dilaksanakan melalui kerjasama secara profesional merupakan satu model pembangunan profesional yang dilakukan secara on-site dengan tumpuan diberi terhadap isu-isu dan kebimbangan berkaitan pengurusan dan kepimpinan bagi pasukan pemimpin dan dalam bidang instruksional bagi guru-guru. Ia merupakan satu kaedah untuk menerima penegasan bagi kerja yang dilakukan dengan baik kerana terdapat peluang untuk mendapatkan perspektif dari luar dan perkongsian contoh teladan atau amalan baik. Reiss (2009) menghuraikan bahawa fungsi coaching dalam pendidikan adalah menyerupai konsep executive coaching yang dijalankan di sektor perniagaan.  Beliau mendefinisikan coaching di sekolah sebagai: 

School leaders working with subordinates on an ongoing basis, to discuss and strategize their goals and challenges to achieve results for their organization, focuses on achieving the school’s and district’s goals by looking deeply at their strengths and areas for their professional growth that better enable them to be a high-performing teachers, with the ultimate goal of achieving the organization’s goals”

Kajian Lochmiller dan Silver (2010) telah membuktikan bahawa coaching berupaya untuk membangunkan kepimpinan pemimpin sekolah dan pemimpin pertengahan terutama dari aspek penetapan hala tuju, pemilihan strategi dan pembangunan aktiviti dan program-program instruksional. Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh Southworth dan Doughty (2006) di England membuktikan bahawa coaching merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian pelajar di sekolah.

Kajian tersebut turut mengenal pasti bahawa terdapat keperluan yang agak mendesak agar coaching diberikan kepada kalangan pemimpin pertengahan dan guru-guru di sekolah. Sementara itu, kajian oleh Meddaugh (2014) di sekolah-sekolah berprestasi rendah mendapati bahawa pendekatan coaching berupaya meningkatkan keupayaan pengetua, pemimpin pertengahan dan guru dalam aspek penetapan matlamat sekolah, membangunkan professional learning communities (PLC), perkongsian kepimpinan dan mewujudkan budaya yang kondusif untuk pembelajaran murid. 

Dapatan kajian Wise and Hammack (2011) pula membuktikan bahawa coaching berupaya membantu pasukan pemimpin sekolah kekal memberi fokus terhadap pencapaian matlamat organisasi, penyelesaian masalah secara strategik dan pengurusan proses perubahan secara berkesan.  Kajian tersebut juga mendapati bahawa coaching yang dilaksanakan memberi penekanan terhadap proses penambahbaikan sekolah secara berterusan dan pembangunan profesional pemimpin pertengahan dan guru terutama dari aspek bina upaya, meningkatkan kualiti instruksional dan meningkatkan pencapaian pelajar. 

Oleh itu, coaching merupakan satu pendekatan yang berkesan dalam membangunkan pasukan pemimpin dan guru di sekolah agar lebih berkeupayaan untuk melestarikan proses penambahbaikan sekolah yang dilaksanakan. Malah, menurut Kostin dan Haeger (2006),  coaching berupaya membantu sekolah terutama dalam bidang-bidang utama melibatkan penetapan wawasan dan aspirasi sekolah, pembangunan budaya yang menggalakan kolaborasi, pelaksanaan proses perancangan yang strategik, pembangunan profesional sumber manusia yang berterusan, pelaksanaan aktiviti instruksional yang mantap dan pengukuhan suasana saling mempercayai dalam kalangan warga sekolah. 

 

Prinsip-prinsip coaching

Coaching boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keinginan untuk membantu orang lain berjaya. Bagaimanapun , mereka perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan pendekatan coaching. Namun personel yang berikut tidak sesuai untuk dicoach: 

  • Secara berterusan menyalahkan orang lain, proses, prosedur atau persekitaran ke atas prestasi atau tingkahlaku yang buruk.
  • Tidak mahu mengambil kebertanggungjawaban secara personal.
  • Sentiasa mempertahankan diri.
  • Enggan terlibat dalam proses kajian semula prestasi.
  • Berterusan meminta maklumbalas, namun tetap bertindak balas bila diberi.

Bagi memastikan pelaksanaan coaching oleh pemimpin sekolah memberi impak yang besar seperti dinyatakan di atas, seseorang coach itu perlu mematuhi prinsip-prinsip tertentu. Sehubungan itu, Shanker (2012) menyatakan bahawa seseorang coach perlu membimbing coacheenya untuk mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberi sokongan dan galakan, mendengar dan memberi maklum balas dengan teliti serta membantu coacheenya terus kekal memberi fokus terhadap perancangan dan tindakan yang hendak diambil. Menurut beliau lagi, proses coaching tersebut perlu dilaksanakan berlandaskan tujuh perisip yang berikut :

i) Kesedaran; Coach perlu meningkatkan kesedaran kendiri coachee bagi membolehkan coachee mendapat manafaat yang optimum daripada proses coaching yang dilaksanakan.

ii) Tanggungjawab ; Coachee bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang telah dipersetujui untuk diambil kerana coachee bukan hanya mendengar dan menerima arahan. Oleh itu, coachee bertanggungjawab terhadap kandungan perbincangan, sementara coach pula bertanggungjawab terhadap proses pelaksanaan coaching.

iii) Keyakinan diri ; Coach perlu memberi semangat dan galakan kepada coachee semasa proses coaching berlangsung agar coachee berasa lebih yakin terhadap dirinya dan tindakan yang bakal diambil. 

iv) Tidak menyalahkan orang lain: Kesilapan yang ditemui semasa proses coaching perlu dianggap sebagai pengalaman yang boleh menjadi pengajaran kepada coachee. Namun pihak coach perlu menjelaskan kesalahan tersebut bagi membolehkan proses penambahbaikan dan pembangunan profesionalisme berlaku terhadap coachee yang dibimbing.

v) Berfokus kepada penyelesaian; Proses coaching seharusnya memberi fokus terhadap penyelesaian kepada masalah yang dibincangkan.

vi) Cabaran: Untuk berubah dan berganjak ke hadapan, kebanyakan manusia memerlukan sesuatu yang mencabar. Oleh itu, di samping memberi sokongan dan galakan, coach perlu menampakkan tindakan yang bakal diambil oleh coachee sebagai satu cabaran yang perlu disambut dan dilaksanakan dengan baik.

vii) Tindakan: Coach perlu membantu dan membimbing coachee untuk melihat masalah yang dihadapi dari pelbagai sudut dan perspektif bagi membolehkan coachee mempunyai pelbagai pilihan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan terhadap situasi sedia ada.

 

Kemahiran Coaching

Kemahiran komunikasi merupakan kemahiran penting dalam coaching untuk membolehkan coach berhubung dengan orang lain dengan berkesan. Penguasaan yang baik akan kemahiran ini dapat membantu memajukan kerjaya seseorang coach. Antara kemahiran komunikasi yang perlu dimiliki oleh  seorang coach ialah: 

i) Kemahiran membina hubungan; Seorang coach perlu mempunyai hubungan yang baik dengan coachee sebelum sesuatu sesi coaching dilaksanakan. Oleh itu, seorang coach perlu mempunyai kemahiran untuk membina hubungan (rapport) agar pertalian yang terjalin antara coach dan coachee adalah dalam keadaan harmoni dan berdasarkan konsep saling percaya mempercayai (trust).

ii) Kemahiran mengguna dan menafsir bahasa badan; Memperbaiki bahasa tubuh dapat membuat perbezaan yang besar ketika seseorang menilai kepribadian anda. Bahasa tubuh yang baik dapat menunjukkan bahwa anda memiliki kemampuan, daya tarikan dan hati yang bersih. Sebagai contoh : jika anda sering tersenyum, anda akan merasakan lebih bahagia. Jika anda duduk dengan tegap, anda akan merasakan lebih bertenaga. Jika anda melambatkan gerakan anda (tidak terburu-buru), anda akan merasakan lebih tenang. Secara asasnya, bahasa tubuh terdiri dari bagaimana cara anda duduk, cara anda berdiri, cara anda menggunakan kedua tangan dan kaki anda, serta apa yang anda lakukan ketika berkomunikasi dengan seseorang. 

iii) Kemahiran menyoal; Soalan-soalan yang digunakan dalam proses coaching tidak sama dengan soalan seharian. Dalam perbualan harian, tujuan soalan adalah untuk mendapatkan maklumat. Melalui soalan yang tepat, coachee akan dapat mencapai matlamat yang sebenarnya. Apabila anda menyoal seseorang, anda perlu menunjukkan minat terhadap mereka. Apabila anda mendengar maklum balas dari seseorang, anda perlu membuat mereka berasa selesa dan pendapat yang mereka ucapkan adalah sesuatu yang menarik, bernas dan hebat. Coaching merupakan satu proses pemudahcaraan. Sebagai coach, anda perlu mencungkil keluar sesuatu yang  terbaik daripada seseorang dan memaksimumkan potensi mereka melalui soalan yang tepat dan berkesan

iv) Kemahiran mendengar yang berkesan; Kemahiran mendengar merujuk kepada aktiviti memberi tumpuan kepada sesuatu maklumat yang didengar, difahami, ditafsir  dan memberikan tindak balas yang teratur samada dalam bentuk lisan dan bukan lisan.  Seseorang coach akan menjadi pendengar yang baik jika beliau berupaya mendengar, memahami dan menilai maklumat dari coachee semasa perbincangan professional berlaku.

v) Kemahiran memberi maklumbalas; Seorang coach perlu cekap memberi maklumbalas semasa membimbing coachee. Maklumbalas yang diberikan mestilah spesifik dan berfokus berasaskan data, berdasarkan pemahaman yang berterusan, tidak menyinggung perasaan dan emosi, memberi ruang untuk maklum balas berterusan dan menggunakan teknik meringkas dan merumus serta membina dan menjelaskan,

vi) Kemahiran memerhati; Kemahiran memerhati merupakan kemahiran penting bagi mendapatkan maklumat tentang objek, peristiwa, pergerakan, sikap dan fenomena dengan menggunakan satu atau lebih deria . Kekuatan pemerhatian mampu mengukur tingkah laku seseorang dengan tepat bagi menyediakan maklumat secara langsung dan boleh digunakan dalam persekitaran semula jadi atau eksperimen. Kemahiran ini boleh ditingkatkan melalui latihan. Kaedah pemerhatian perlu diperkukuhkan dengan merekodkannya  menggunakan kaedah tertentu seperti lembaran perekodan, senarai semak, nota lapangan, gambar atau kombinasi beberapa kaedah yang dinyatakan. 

Sebagai petua dalam melaksanakan coaching, jangan beritahu seseorang untuk berubah. Ia tidak berfungsi. Anda tidak boleh memaksa seseorang untuk percaya dan memberi respons terhadap maklumbalas yang anda beri kepada mereka dengan cara anda jangkakan. Jangan membazir masa anda memberitahu coachee anda yang mereka harus melakukan ini, mereka harus selesaikannya atau mereka perlu melakukannya.

 

Model Coaching 

Terdapat beberapa model yang digunakan dalam melaksanakan coaching. GROW Model merupakan model yang paling terkenal dan digunakan secara meluas dalam proses coaching. Model ini juga dikenali sebagai kaedah coaching melalui pendekatan konflik (Allison and Harbour, 2009). Model GROW telah diperkenalkan oleh Whitmore (2009) lebih daripada 20 tahun yang lalu dalam bukunya Coaching for Performance, dan telah dibangunkan daripada daripada teori Inner Game oleh Tim Gallwey. GROW juga digambarkan beberapa tahun kemudian oleh Max Landsberg dalam The Tao of Coaching (Allison and Harbour, 2009). 

Coaching telah berkembang dengan ketara sejak GROW diperkenalkan. Malah, GROW telah menjadi sangat dikenali dalam bidang perniagaan dan telah diguna pakai oleh banyak coach dalam pelbagai bidang termasuklah pendidikan. Ia menyediakan satu kaedah berstruktur yang berkesan yang mana ianya membantu menetapkan matlamat secara berkesan dan proses menyelesaikan masalah. Ianya mudah difahami, jelas dan mudah untuk digunakan (Shanker, 2012). Menurut beliau lagi, GROW merupakan akronim kepada perkataan ‘goal setting’ (G), ‘reality checking’ (R), ‘oppotunity’ (O) dan ‘will’ atau ‘what next’ (W). Secara ringkasnya, sesi coaching yang dilaksanakan perlu melalui proses GROW seperti berikut: 

G – Penetapan matlamat sesi jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang

R – Menyemak realiti dan meneroka situasi semasa

O – Meneliti peluang dengan mengenal pasti pelbagai strategi dan tindakan

       alternatif yang boleh menjadi pilihan untuk dilaksanakan.

W – Apakah yang perlu dibuat, bila dan siapa yang akan melakukannya

Sehubungan itu, jika Model GROW digunakan, coach akan memulakan sesi dengan menetapkan matlamat (G) yang hendak dicapai berkaitan topik, isu atau masalah yang dibincangkan dalam sesi coaching yang dilaksanakan. Pada tahap realiti (R) pula, coach perlu membantu dan membimbing coachee untuk memahami keadaan sebenar yang berlaku ke atas mereka dengan mengenal pasti status di mana mereka sekarang berada dan kaitannya dengan matlamat yang mereka hendak capai. Ia adalah satu proses penemuan yang melibatkan mendengar, menyoal, memberi maklum balas di samping mencabar, merangka semula dan membuat refleksi terhadap status di mana mereka berada pada masa itu, apakah yang mereka telah lakukan dan apakah kesan daripada tindakan yang diambil. 

Pada peringkat pilihan (O) pula, coachee harus mengelak daripada membuat kesimpulan segera dan perlu dahulu melakukan percambahan fikiran pelbagai pilihan. Barulah mereka dibenarkan untuk membuat pilihan dan memutuskan apakah tindakan yang mereka akan ambil, atau sebaliknya, apakah perkara yang mereka akan berhenti melakukannya. Peringkat akhir dalam bahagian akan lakukan (W) pula adalah untuk menjelaskan tindakan, kesukaran yang berpotensi untuk dihadapi, mengatur sumber-sumber, mendapatkan komitmen dan mewujudkan akauntabiliti tentang apa yang coachee akan lakukan.

 

Kesimpulan 

Dapatan beberapa kajian di atas telah membuktikan bahawa peranan pegawai SIPartner+ sebagai coach untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada pemimpin sekolah dalam membangunkan organisasi sekolah yang mereka pimpin dan matlamat inisiatif  SISC+ untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada guru melalui kaedah coaching dalam melaksanakan pembelajaran abad ke-21 telah dapat dimanafaatkan dengan berkesan. Secara tidak langsung, dapatan daripada kajian-kajian yang dilaksanakan seperti di atas turut membuktikan bahawa pendekatan coaching yang digunakan oleh SIPartner+ dan SISC+ telah memberi impak terhadap pembangunan pemimpin sekolah dan guru-guru. Oleh itu, adalah dicadangkan coaching diperluaskan penggunaannya di sekolah. Pemimpin sekolah perlu membina upaya pemimpin pertengahan dan guru-guru agar pengoperasian dan pengurusan sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan, manakala kualiti guru dan pendidikan yang disediakan berada pada tahap yang cemerlang.

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com