KOMUNIKASI BERKESAN DALAM ORGANISASI

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Clay Shirky

Clay Shirky dalam bukunya berjudul ‘Here Comes Everybody; The Power of Organizing Without Organizations’ menyatakan bahawa “Apabila kita mengubah cara kita berkomunikasi, kita sebenarnya mengubah masyarakat.” Dalam aspek kepimpinan organisasi sekolah ,  pengetua dan guru besar (PGB)   perlu mengubah cara berkomunikasi kepada yang lebih baik kerana tindakan mereka ini diyakini mampu untuk mengubah lanskap sekolah. Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar PGB mampu bertindak sebagai pemimpin  berkesan  yang dapat membangunkan kemahiran komunikasi berkesan dalam kalangan ahli organisasi. Selain daripada dapat meningkatkan prestasi sekolah, komunikasi berkesan juga dapat menjamin kestabilan dan keharmonian hubungan sesama guru di sesebuah sekolah. 

Menurut  Ariffin dan Robiah (2002); sekiranya berlaku komunikasi berkesan dalam organisasi,  bermakna guru-guru akan terlibat sama dalam membuat keputusan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti sekolah. Guru-guru yang diajak berunding dan melibatkan diri secara langsung biasanya merasai diri dan sumbangan mereka dihargai; mereka juga mendapat kuasa untuk mengambil inisiatif dan bertindak secara terbaik sesuai dengan kepakaran dan pengalaman tersendiri yang ada dalam diri masing-masing. Justeru; impak yang diharapkan oleh PGB akan tercapai kerana guru telah didorong kepada perubahan serta berupaya melaksanakan tindakan yang sepatutnya mereka laksanakan akibat daripada maklumat yang disampaikan secara berkesan oleh PGB. Andainya situasi ini berlaku,  PGB telah berjaya mempamerkan kepimpinan yang baik kerana ‘good leadership starts with good communication.’

Ahmad Jawahir Tugimin, Rosli Saadan, Kalthom Husain (2011) dalam kajian yang dijalankan mendapati bahawa komunikasi dalam organisasi yang mengutamakan komunikasi dua hala antara pegawai atasan dan bawahan adalah jauh lebih baik berbanding komunikasi sehala, yang berbentuk arahan semata-mata. Justeru, PGB sangat dituntuut untuk mengamalkan komunikasi berkesan dalam organisasi mereka. Selain daripada dapat membangkitkan dorongan bekerja yang lebih tinggi dalam kalangan guru, kebolehan PGB menyampaikan maklumat dengan berkesan serta tidak mengelirukan juga mampu untuk mengelakkan konflik dan salah faham dalam organisasi. Selain itu, komunikasi berkesan juga dapat membangkitkan perasaan saling mempercayai antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan guru dan staf sokongan jelas dengan peranan dan tugas yang perlu dilaksanakan; sama ada secara individu atau berkumpulan. Situasi ini seterusnya akan mampu untuk menjadikan interaksi antara satu sama lain berjalan dengan baik kerana maklumat yang disalurkan adalah maklumat yang sama, tepat dan jelas.

Justeru, dalam usaha memastikan komunikasi berkesan dalam organisasi dapat dilaksanakan dengan efektif, beberapa perkara perlu dilakukan oleh setiap warga sekolah. Antaranya;

 

PGB

1.Amalkan dasar ‘pintu terbuka’/galakkan subordinat beri pandangan

2.Tegur kesilapan subordinat dengan kritikan membina

3.Luangkan masa untuk subordinat. Berusaha untuk menjawab kemusykilan. Elakkan daripada berkata “tidak”

4.Jangan menilai subordinat berdasarkan gosip/khabar angin. Elakkan menilai secara membuta tuli. Adakan ruang untuk berbual santai dengan individu yang dimaksudkan.

5.Elakkan meninggi diri & dalam masa yang sama merendahkan subordinat. Tunjuk dan ajar.

6.Beri arahan yang jelas dan sabar membantu jika diperlukan

7.Tunjuk rasa hormat dan beri penghargaan kepada orang bawahan

 

GURU

1.Jelaskan sebab musabab ketika memberi pandangan/idea/pilihan;

2.Berhemah ketika menyatakan masalah yang mungkin timbul daripada idea yang dikemukakan oleh PGB

3.Jangan berdiam diri jika anda kurang jelas idea yang ingin disampaikan oleh PGB.

4.Bertanyalah..Ingatkan PGB tentang bebanan tugas yang sedang anda pikul jika PGB datang dengan tugasan yang baru untuk anda

5.Beri maklumbalas positif terhadap kritikan yang diberikan kepada anda

 

SESAMA RAKAN SEKERJA

1.Jangan menghukum, menyalahkan atau mengkritk pendapat seseorang

2.Berbincang dengan baik jika ada perbezaan pendapat

3.Jangan guna nada suara yang tinggi

4.Elakkan provokasi

 

Realitinya; komunikasi berkesan sekiranya menjadi amalan dalam organisasi/institusi sekolah,membolehkan kakitangan/guru memahami peranan, tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Di samping itu, mereka juga akan lebih berkeyakinan untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara lebih baik dan berkesan ketika berurusan dengan pelanggan/ibu bapa. Apa yang paling penting adalah motivasi mereka akan meningkat kerana tindakan PGB yang mendengar dan memberi maklumbalas  kepada cadangan yang dikemukakan akan menyebabkan mereka merasai lebih dihargai oleh kepimpinan sekolah.

Sebagai School Improvement Partner (SIP) adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memastikan PGB dapat mengamalkan komunikasi berkesan dalam organisasi masing-masing. Platfom seperti Professional Learning Community (PLC), perkongsian amalan terbaik dan sebagainya boleh dijadikan wadah untuk memperkasa kompetensi PGB dalam aspek komunikasi demi memastikan tidak berlaku kecairan maklumat. Sebaliknya,  maklumat yang diterima atau yang dimiliki oleh PGB dapat disampaikan dengan berkesan supaya organisasi dapat bergerak sederap dan senada dengan hasrat maklumat berkenaan.

 

 

Bibliografi;

Ariffin Ba’ada & Robiah Sidin (2002). Komunikasi Pengetua-Guru:Satu Analisis: Jurnal Teknologi, UTM

Clay Shirky (2008). Here Comes Everybody; The Power of Organizing Without Organizations: Penguin Press HC

Ahmad Jawahir Tugimin, Rosli Saadan, Kalthom Husain (2011). Kesan Komunikasi dalam Organisasi ke Atas Kepuasan Kerja Staf Sokongan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM): Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com