Titik Buta (Blind Spot) Dalam Kepimpinan

User Rating: 5 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar ActiveStar Active
 

Situasi 1:

Sehebat mana pun ikan paus Hammerhead, ia masih tak mampu untuk memakan ‘rezeki di depan mata’   disebabkan blind spot dan juga disebabkan fizikalnya yang sememangnya begitu.

Situasi 2:

Kita sedang seronok memandu di lorong kiri lebuh raya dan kemudiannya bercadang untuk ‘memotong’ kenderaan di hadapan. Setelah yakin bahawa situasi selamat, kita pun mengaktifkan lampu isyarat untuk ‘memotong’ dan mula mengubah hala kenderaan kita. Tiba-tiba…kita dikejutkan dengan bunyi hon yang kuat, datangnya dari kenderaan sebelah kanan kita yang ‘tiba-tiba’ muncul. Situasi berlaku disebabkan kita tidak nampak kenderaan tersebut kerana blind spot.

Situasi 3;

Muhamad Ali; insan tersohor dan terhebat dalam arena tinju berjaya berada di puncak disebabkan seorang insan bernama Angelo Dundee. Beliau bertanggungjawab melatih Muhamad Ali sehingga berjaya meraih 3 kali gelaran juara dunia. Secara logik; sekiranya diadakan pertarungan antara 2 insan ini; sah Angelo akan tewas. Tetapi beliaulah yang bertanggungjawab meletakkan Ali di puncak dan Muhamad Ali masih memerlukan beliau. Muhamad Ali memerlukan jurulatih bukan kerana jurulatihnya lebih hebat tetapi beliau memerlukan seseorang untuk melihat hal-hal yang dia “tidak dapat lihat” @ blind spot.

Situasi 4

Pada satu pagi, seorang pemimpin organisasi telah  didatangi oleh seorang pegawainya yang telah menegur cara kepimpinannya yang pada pandangan pegawai berkenaan sudah tidak relevan dengan organisasi. Teguran ini agak sukar diterima oleh pemimpin berkenaan kerana sangkaannya pegawai berkenaan akan sentiasa bersetuju dengan apa yang beliau lakukan. Tambahan pula, pegawai berkenaan adalah antara individu yang rapat, boleh bergurau dan tertawa bersama. Situasi tidak boleh menerima teguran orang bawahan atau orang lain yang berusaha untuk membetulkan tindakan kita; merupakan satu lagi blind spot.

Tidak ada sesiapapun yang mengalu-alukan berita buruk tentang diri sendiri. Tetapi individu, khususnya pemimpin yang mempunyai kesedaran diri bukan sahaja bersedia menerima maklum balas mengenai diri sendiri, malah mereka juga mencarinya. Pemimpin sedemikian berbuat demikian kerana mereka mahu terus belajar dan berkembang kerana mereka menyedari hakikat bahawa tanpa kesedaran diri, prestasi mereka  tidak akan tumbuh dan berkembang. Kita sering menganggap bahawa pemimpin hebat sebagai seseorang yang tahu apa sahaja. Namun, tidak ada yang sempurna di dunia ini.

Hampir setiap orang memiliki titik buta @ blind spot, termasuk pemimpin hebat. Pemimpin hebat  pastinya  bersetuju bahawa kesedaran diri adalah kriteria utama  untuk berjaya. Namun, ramai yang tidak mengetahui kekuatan sebenar yang ada dalam diri atau aspek-aspek diri yang perlu ditingkatkan. Apabila seseorang pemimpin lebih menyedari potensi diri, dia akan menjadi pemimpin yang lebih hebat. Persoalannya; adakah seseorang pemimpin itu bersedia untuk dikritik atau ditegur tentang kelemahan diri serta bersedia untuk  dibimbing bagi menggilap potensi sedia ada mereka?

Apa itu blind spot?  Kamus Mac Millan mendefinisikan blind spot sebagai “a subject that you do not understand well, often because you do not want to know or admit the truth about it.” Dalam aspek kepimpinan, John Maxwell dalam artikelnya berjudul Leadership Blind Spots; mentakrifkan blind spot sebagai “kegagalan pemimpin untuk melihat kelemahan diri dan juga persekitarannya secara realistik. Kegagalan dan ketidaksedaran ini lazimnya mendatangkan impak negatif kepada diri pemimpin itu dan juga organisasi yang dipimpinnya.” Dalam erti kata lain, blind spot merujuk kepada kegagalan seseorang untuk memahami sesuatu perkara dengan baik disebabkan sikap enggan ambil tahu atau enggan mengakui kelemahan diri. Situasi ini boleh menjejaskan reputasi seseorang pemimpin dan menjejaskan organisasi.

Blind spot jika gagal ditangani, boleh melemahkan kepimpinan, termasuklah kepimpinan di sekolah. Kelemahan yang dialami oleh Pengetua dan Guru Besar (PGB) itu sebenarnya boleh diatasi melalui amalan, keinginan dan sedikit ruang masa untuk berubah. Blind spot mungkin juga merupakan ciri peribadi seseorang PGB yang sebenarnya boleh mengehadkan cara mereka berfikir dan bertindak; sekali gus membatasi pencapaian! Lebih memburukkan keadaan jika sesebuah organisasi sekolah itu dianggotai oleh barisan pemimpin pertengahan yang takut untuk menegur atau mengkritik PGB. Impaknya; PGB tersebut akan mempunyai blind spot yang sangat signifikan yang tidak disedarinya. Penawar untuk situasi ini adalah kesedaran diri.

Daripada kajian Clinton O. Longnecker dan Robert D. Yonker mengenai blind spot dalam kepimpinan dapatlah dirumuskan bahawa seseorang pemimpin organisasi (dalam konteks artikel ini terus merujuk kepada PGB) mengalami blind spot, sekiranya;

1) Gagal berkomunikasi dengan baik; termasuklah ‘tidak mendengar’, tidak berkongsi maklumat, pengurusan mesyuarat yang tidak cekap serta bermasalah daripada segi komunikasi lisan dan bukan lisan.

2) Gagal menjalin hubungan baik dengan guru-guru / staf, seperti sukar didekati, kurang bekerjasama, tidak mesra, kurang meluangkan masa untuk bersama-sama dan kurang memahami situasi orang lain.

3) Ego; PGB lebih suka menyendiri, sukar dihampiri di samping terlalu yakin dengan keputusan yang dibuat tanpa memberi ruang kepada perbincangan.

4) Tidak berupaya menangani tekanan; tidak mempamerkan ketenangan ketika berhadapan situasi sukar hingga menyebabkan hilang fokus.

5) kurang cekap menerajui perubahan dalam organisasi; menyebabkan guru-guru kurang jelas dengan perubahan yang diingini, disebabkan andaian oleh PGB bahawa semua orang tahu apa yang patut dilakukan tanpa penjelasan, tunjuk ajar dan bimbingan.

6) Gagal mengurus masa dengan cekap.

7) Tidak membuat deklarasi, perkongsian dan memberi pemahaman yang jelas terhadap perubahan yang ingin dilakukan. Guru-guru tidak dilibatkan dalam membuat sesuatu keputusan berkaitan dengan perubahan menyebabkan mereka kurang terdorong untuk melaksanakan perubahan yang diharapkan.

8) Tidak memberi maklum balas terhadap pembangunan organisasi dan gagal membimbing untuk tujuan penambahbaikan menyebabkan guru-guru keliru tentang status dan pencapaian mereka.

9) Kurang menguasai Kemahiran Menyelesaikan Masalah dan Membuat Keputusan.. Justeru; keputusan yang dibuat adalah tidak tepat, masalah diselesaikan tanpa melalui proses yang sepatutnya, penyelesaian masalah tanpa menggunakan alat dan tidak menganalisis data.

10. Gagal menyediakan sumber yang sewajarnya untuk menyokong perubahan organisasi. PGB hanya memberi arahan kepada guru-guru untuk melaksanakan perubahan tanpa disokong oleh sumber tertentu; seperti kewangan, masa, tenaga sokongan, maklumat dan sebagainya.

Sebagai SIP, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memastikan  blind spot dalam kalangan PGB dapat dikurangkan ataupun diatasi sepenuhnya. Bantu dan bimbinglah ‘hammerhead’ supaya nampak dan dapat merebut peluang di hadapan mata. Kita kena pastikan  ‘pemandu’ dapat memintas kenderaan di hadapannya dengan selamat, tanpa gangguan bunyi hon yang panjang. Berusahalah untuk menjadi seperti Angelo Dundee yang walaupun tidak sehebat mana,  tetapi mampu melahirkan insan yang hebat dan menjadi legenda tinju dunia. Semua ini mampu kita galas jika pemimpin yang kita bimbing berfikiran terbuka dan sanggup menerima teguran akan kelemahan diri dan berlapang dada menerima bimbingan. Walaupun kita sendiri mempunyai blind spot; itu bukan penghalang untuk kita membantu mengurangkan blind spot orang lain. Percayalah; pakar mata yang merawat mata pesakit juga kebanyakannya berkaca mata..!

 

 

Susunan dan olahan semula daripada bahan asal;

 

Clinton O. Longnecker and Robert D. Yonker : Leadership blind spots in rapidly changing organizations - Carian internet

John Maxwell (2015): Leadership Blind Spots - Carian internet

Marisa Levin (2017):The Top 10 Leadership Blind Spots, and 5 Ways to Turn Them Into Strengths - Carian internet

Roshan Thiran :Adakah Anda Kenal Diri Sendiri? -  Carian internet

 

 

 

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com