You 'll Never Walk Alone..!!

 

Sumber video adalah dari YouTube...

You'll Never Walk Alone' (YNWA) merupakan tajuk sebuah lagu paling popular dalam bolasepak, dan sering dinyanyikan peminat Liverpool sebelum sepak mula di Anfield . YNWA  ini dianggap lagu rasmi kepada Liverpool dan mungkin lagu paling popular dalam dunia bola sepak ketika ini. YNWA turut dinyanyikan peminat kelab lain seperti Celtic, Borussia Dortmund, Feyenoord dan beberapa lagi kelab di luar sana.  

Lagu YNWA (Anda Tidak Akan Pernah Berjalan Bersendirian) ditulis oleh Oscar Hammerstein II dan diolah lebih lanjut oleh Richard Rodgers untuk teater muzikal mereka yang bertajuk 'Carousel'. Lagu tersebut mula diterbitkan di Amerika Syarikat sekitar tahun 1945. Lagu ini terus berkembang dan muncul beberapa versi yang telah diolah lebih lanjut. Olahan yang paling berjaya dilakukan oleh Gerry and the Pacemakers pada tahun 1963 dan diterbitkan di United Kingdom.  

Sebaik sahaja lagu YNWA versi Gerry and the Pacemakers dikeluarkan, peminat Liverpool terus mengguna pakai lagu tersebut sebagai salah satu cara untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka.Malah, YNWA juga menjadi slogan dan jelas tertera di logo kelab berkenaan. Pemandangan puluhan ribu peminat Liverpool menyanyikan lagu YNWA sebelum bermulanya perlawanan di Anfield menjadi satu fenomena dan tradisi tersebut kekal sehingga ke hari ini. 

Ungkapan YNWA bukan sekadar ungkapan yang biasa-biasa sahaja; sebaliknya merupakan satu ungkapan yang mempunyai maksud yang  mendalam dan boleh dijelmakan dalam kerja buat sesebuah organisasi. Walaupun mungkin bukan yang terbaik, falsafah YNWA adalah antara kata-kata keramat yang wajar diterapkan dalam sesebuah organisasi; termasuklah dalam organisai pendidikan. Menghayati YNWA mengajak seseorang pengetua/guru besar (PGB)  agar sentiasa ada bersama orang bawahan; guru, staf sokongan dan murid, khususnya pada ketika mereka sedang melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan. Keberadaan serta sikap peduli yang dipamerkan oleh PGB merupakan satu suntikan semangat kepada orang bawahan untuk melaksanakan tugas dengan penuh iltizam.  

Kehebatan Liverpool misalnya, bukan hanya terletak kepada Jurgen Klopp semata-mata. Pastinya beliau mempunyai barisan kejurulatihan yang hebat dan senada dengan beliau dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap. Pastinya mereka sepakat dalam merancang strategi pasukan. Barisan kejurulatihan yang mantap juga tidak cukup jika tidak disokong oleh barisan pemain yang faham dan boleh mengaplikasikan taktik dan taktikal yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan. Misi mereka adalah sama; meraih kemenangan. Bagi pemain pula, selain mempamerkan aksi terbaik dan bergerak sebagai satu pasukan, mereka juga berharap agar mereka tidak sendirian dalam mengharungi getir 90 minit perlawanan. Sudah pasti, sokongan “pemain ke-12” sangat-sangat diharapkan demi menaikkan semangat juang mereka. Menghayati YNWA akan menyebabkan penyokong memberi sokongan sehabis baik demi memastikan pasukan kesayangan mereka meraih kejayaan.  

Begitu juga halnya dengan sesebuah sekolah. Kehebatan sesebuah sekolah itu bukan bergantung kepada kehebatan PGBnya semata-mata, tetapi disokong oleh barisan pemimpin pertengahan. Barisan kepimpinan di sesebuah sekolah perlu duduk semeja dan kerap berbincang demi memastikan perjalanan organisasi itu sentiasa berada pada landasan yang betul. Seterusnya; barisan kepimpinan perlu berkongsi perancangan program dan impak yang diharapkan dengan rakan guru  supaya mereka dapat menterjemahkannya melalui pelaksanaan sesuatu program yang telah dirancang rapi dan juga sistematik. Bagi pelaksana pula, mereka sedar bahawa sesuatu program itu tidak akan berjaya tanpa sokongan menyeluruh daripada murid-murid, ibu bapa dan juga komuniti.  

Justeru; bagi memastikan falsafah YNWA meresap masuk dalam stail pengurusan seseorang PGB, mereka perlu membentuk barisan kepimpinan yang mantap. Mereka perlu mengelak daripada membiarkan orang bawahan  bersendirian dalam menghadapi situasi sukar. Seseorang PGB  perlu berada bersama-sama mereka pada ketika senang dan susah, di samping kerap berkongsi visi dan misi, memberi motivasi, mendorong, serta kerap turun padang. PGB  perlu bijak menghidu situasi sukar yang dihadapi oleh kerabat kerjanya, mampu mengesan isu dan komited dalam menyelesaikan masalah.Masalah yang dihadapi oleh guru jika dibiarkan akan menjadi  masalah organisasi.Oleh itu, ia perlu ditangani dengan cara yang berhemah dan bijaksana.  PGB perlu mengelakkan diri daripada membebani orang bawahan  dengan tugasan yang mendesak, yang dicipta demi memenuhi naluri dan keghairahan ingin mencapai kecemerlangan dan kegemilangan dalam sesuatu perkara tanpa sedar bahawa ada hati-hati yang terluka dek sikap, perlakuan dan karenah yang dipamerkan. 

YNWA jika dibudayakan dalam organisasi akan dapat meningkatkan budaya  kerja sepasukan dalam sesebuah sekolah. Sikap toleransi, tolong menolong, persefahaman serta permuafakatan akan lebih menebal dalam kalangan guru. Mereka  pastinya tidak tergamak membiarkan kelompok kecil rakan mereka sendirian dalam melaksanakan tugasan kerana mereka juga sedar bahawa pada satu hari nanti mereka juga memerlukan orang lain untuk berada bersama-saman mereka. Realitinya, akan tiada kerja silo dalam YNWA.

Justeru; dalam usaha memastikan PGB tidak sendirian dalam mengemudi sekolah, Rakan Peningkatan Sekolah (School Improvement Partner – SIP)  juga tidak terlepas daripada membudayakan amalan YNWA ini,  SIP perlu  berada di sisi PGB dan sentiasa memberi bimbingan kepada mereka, sokongan dan dorongan dalam usaha memastikan mereka berupaya merealisasikan inisiatif yang telah mereka ambil untuk mencemerlangkan sekolah.Sebagaimana setianya seseorang jurulatih berada di tepi padang setiap kali anak buah mereka beraksi, begitu jugalah halnya dengan SIP yang perlu ‘menemani’ dan sentiasa ambil peduli tentang pelaksanaan perancangan yang telah dibuat oleh PGB dalam usaha mereka mencapai matlamat yang mereka harapkan. 

Siapa pula yang akan berada di sisi kita selaku SIP ? Adakah kita akan bersendirian dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan? Adakah konsep YNWA tidak menyebelahi kita? Sebenarnya, kita tidak sendirian. Kita hanya perlu bersabar. Bersabarlah dengan dugaan dan cubaan yang kita lalui sepanjang melaksanakan tugas coaching and mentoring kerana sesungguhnya Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang sabar.Percayalah; kita juga tidak sendirian kerana Allah sentiasa di samping kita. Justeru; jika ingin berbicara dengan Dia dirikanlah solat dan jika ingin Dia menyapa..bacalah alQuran. Kita tidak sendirian kerana Dia sentiasa mengawasi kita. 

 

Nota :

Artikel ini telah didraf sejakt Liverpool seolah-olah boleh menjadi juara EPL 2018/2019. Dihentikan seketika apabila hal tersebut tidak menjadi kenyataan. Penulisan siap sepenuhnya sebaik Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara 2019 (UEFA Champions League). Namun; suka dijelaskan bahawa penulis adalah peminat setia Manchester United dan belum bercadang untuk beralih arah walaupun ada desakan dari pihak-pihak tertentu.

Rujukan:

Fitri (2014),  You’ll Never Walk Alone, dicapai pada 19 Februari 2019 daripada https://myfitriblog.wordpress.com

Izuddin (2018); Asal Usul Lagu Keramat Liverpool, You'll Never Walk Alone dicapai pada 19 Februari 2019 daripada https://www.thesukan.com

 

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com