MODEL HALA TUJU PONTIAN DINAMIK

Organisasi yang mempunyai hala tuju yang jelas mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.  Seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2013,  Pejabat Pendidikan Daerah Pontian mengorak langkah dengan mengambil   inisiatif menjadi Pontian Dinamik.

Kerangka model dibina berdasarkan sebuah rumah atau bangunan. Lazimnya kerangka sebuah bangunan dibina daripada 3 bahagian utama,  iaitu tapak, tiang dan bumbung. Berdasarkan konsep di atas, kerangka model Pontian Dinamik adalah hasil daripada hala tuju Pendidikan Negeri Johor dan Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan asas atau tapak kepada pembentukan ini dengan rujukan utama laluan PPPM (2013-2025).

Struktur kedua terpenting ialah pillar (tiang) yang menjadi penyokong dan pendokong sehingga mengukuhkan bangunan tersebut berdiri tegak. Ketiga-tiga tiang ini merupakan bahagian penting dalam model ini. Bahagian tiang-tiang utama dalam model ini merupakan matlamat dan  hala tuju Pontian Dinamik. Tiga matlamat utama menjadi teras bagi model ini ialah:  

Pillar 1 (tiang 1) - Mempunyai pemimpin berkesan dalam menguruskan dan mencipta kejayaan sesebuah sekolah. Pemimpin berkesan perlu memfokuskan kepada kepimpinan instruksional yang perlu dikuasai, menjadi pemimpin yang boleh membawa perubahan (transformational leadership) dan berkebolehan serta berwibawa mengagihkan kepemimpinan kepada pemimpin pertengahan. Selaras  dengan itu   berdasarkan kepada PPPM (2013-2025), pegawai SIP+ (School  Improvement Partners+ atau Rakan Peningkatan Sekolah) diperlukan bagi peningkatan sesebuah sekolah. Pemimpin juga perlu menambah ilmu dan maklumat dari semasa ke semasa dan seterusnya menyampaikan serta mengaplikasi kepada organisasi dalam bentuk PLC dan CPD. 

Pillar 2 (tiang 2) - merupakan struktur bagi guru berkualiti. Guru berkualiti dalam matlamat Pontian Dinamik memberi fokus kepada kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan guru berdasarkan SKPMg2- Standard 4. Oleh yang demikian, dengan mengamalkan pedagogi PAK21 dan PdPc cemerlang, maka potensi murid akan dapat dijana secara maksimum. Bimbingan dan Pementoran SISC+ (School Improvement Speacialist Coaches+) merupakan satu elemen dalam menghasilkan guru berkualiti. Guru dibimbing menggunakan kaedah PdPc dengan betul. Ini selaras dengan arus perkembangan dunia pendidikan yang sentiasa berubah. Guru juga perlu mengikuti dan melaksanakan CPD atau PLC bagi membaharui dan mengemas kini pengetahuan sedia ada.

Pillar 3 (tiang 3) - merupakan matlamat ke-3 bagi Pontian Dinamik. Matlamat ke-3 memberi fokus kepada sokongan PIBG dan komuniti. Penyertaan rakan strategik, mengadakan jalinan dan perkongsian pintar dengan agensi kerajaan dan bukan agensi kerajaan merupakan faktor dalam mencapai matlamat kejayaan sekolah. Selain itu, kepakaran komuniti merupakan penyumbang kepada organisasi Pendidikan di  samping galakan dan sokongan ibu bapa yang prihatin terhadap kemajuan anak-anak mereka dan sekolah amnya.

Bahagian bumbung atau puncak bangunan dalam model ini merupakan matlamat yang hendak dicapai, iaitu sekolah berkualiti dan kemenjadian murid. Grafik puncak ialah gambaran budaya ilmu yang menjunjung tinggi penerapan unsur kerohanian, emosi serta ketuhanan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com