Teori Pembelajaran Konstruktivisme Dalam Membudayakan Amalan Abad Ke-21 (Bahagian 1)

Artikel ini ditulis oleh Shamsuddin bin Haron, Pegawai SIPartner+ PPD Kluang dan Azmi bin Sukiman, Pegetua SMK Moakil, Segamat (sekarang bertugas sebagai Pegawai SIPartner+ PPD Segamat) telah dibentangkan dalam Seminar Pendidikan Kebangsaan 2017 di Muatrade Hotel, Muar pada 23-24 September 2017.

Pengenalan 

Bagi memastikan sistem pendidikan terus relevan dan bersifat dinamik dan sesuai dengan persekitaran yang berubah, program tranrsformasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun pada tahun 2020 adalah sangat bertepatan. Hal ini kerana, pendidikan perlu bergerak seiring dengan keperluan pembangunan iaitu untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu, berpotensi, dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. 

Demi merealisasikan matlamat ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengorak langkah untuk menangani pelbagai isu dan masalah dalam sistem sedia ada. Banyak aspek penting dalam pendidikan telah diubah dan diperbaiki atau diperbaharui. Langkah tersebut diambil bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat perkhidmatan pendidikan yang berkualiti. 

Antara program pembangunan dan transformasi pendidikan kerajaan yang baru adalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pelan ini tidak ubah seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara. Ia bertujuan untuk memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa (KPM, 2013). 

Pelan pembangunan ini adalah satu dokumen komprehensif dengan pernyataan dasar yang bukan sahaja mengenalpasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan (Sufaat Tumin, 2013). 

Untuk mempercepat penambahbaikan prestasi murid secara berkesan, berterusan dan menyeluruh, KPM memberi tumpuan kepada aspek yang memberi impak besar kepada prestasi murid seperti kualiti guru dan kepimpinan pengurusan sekolah. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam 9 Bidang Keutamaan dan 11 Anjakan yang terkandung dalam PPPM 2013-2015 (KPM, 2013). KPM telah merancang untuk melaksanakan PPPM 2013-2015 dalam tiga fasa atau gelombang. 

Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015 ini bermatlamat untuk mengubah sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan memberi fokus kepada kemahiran utama. Bagi mempercepatkan peningkatan prestasi sekolah dan mengurangkan jurang pencapaian antara sekolah, Program Transformasi Daerah atau District Transformation Program (DTP) dijadikan satu inisiatif utama bagi menyediakan sokongan dan intervensi yang menjurus kepada sekolah. (KPM, 2014). 

Projek rintis DTP telah dilaksanakan di Kedah (8 daerah) dan Sabah (24 daerah) dari Jun 2012 hingga Disember 2013. Sementara itu, peluasan program kesemua daerah di seluruh negara melibatkan 106 buah PPD yang dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 2014 (KPM, 2013). 

Adalah menjadi harapan, dengan berakhirnya pelaksanaan fasa pertama atau Gelombang 1 pada tahun 2015, PPD telah dapat memainkan peranan secara cekap dan berkesan dalam memberi sokongan kepada pemimpin sekolah dan guru-guru untuk meningkatkan pencapaian sekolah mereka (KPM, 2012). Hal ini kerana, matlamat Glombang 2 untuk memacu peningkatan sistem hanya akan terlaksana sekiranya matlamat Glombang 1 telah tercapai. 

Implikasi 

Kini, DTP telah memasuki fasa Gelombang 2 dan banyak perubahan telah berlaku terutama dari aspek pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 (PAK21). Sehubungan itu, bermula pada tahun 2017, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia bagi gelombang 2 (SKPMg2) telah diperkenalkan bagi menggantikan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia edisi 2010 (SKPM 2010) yang digunakan selama ini. 

Hal ini kerana, landskap pendidikan masa kini mengalami perubahan yang ketara seiring dengan perubahan yang berlaku dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Perubahan ini menuntut agar pemimpin di sekolah harus bertindak selaku peneraju, pembimbing dan pendorong (Standard 1) dalam semua program dan aktiviti di sekolah (JNJK, 2016). 

Bagi melaksanakan peranan baharu ini terutama sebagai pembimbing dan pendorong, pemimpin sekolah perlu menggunakan kaedah yang berkesan untuk meningkatkan kecekapan individu dan kualiti pengurusan sekolah. Pemimpin sekolah perlu menggunakan pendekatan tertentu untuk memberi bimbingan, panduan, maklum balas dan pendedahan berkaitan tugas kepada pemimpin pertengahan seperti Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) dan Ketua Panitia (KP) serta guru-guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP) mengikut keperluan, secara jelas, profesional, menyeluruh dan terancang dari semasa ke semasa (JNJK, 2016). 

Pada masa yang sama, guru-guru juga turut diberi tanggungjawab yang sama melaksanakan peranan baharu sebagai pembimbing dan pendorong (Aspek 4.3 dan Aspek 4.4 dalam Standard 4) dalam memberi bimbingan, pemudahcaraan, galakan, dorongan, penghargaan dan tunjuk ajar kepada murid-murid terutamanya semasa proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara profesional dan terancang bagi membolehkan murid-murid menguasai pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai berdasarkan objektif pelajaran (JNJK, 2016). 

Sehubungan itu, pihak pemimpin sekolah dan guru-guru perlu menggunakan pelbagai inisiatif dan strategi untuk tujuan memacu pembangunan sumber manusia (guru-guru) dan pembangunan modal insan (murid-murid). Inisiatif dan strategi yang dipilih dan digunakan perlu berasaskan teori tertentu bagi memastikan keberkesanannya. Oleh itu penulisan ini bertujuan untuk membincangkan tentang inisiatif dan strategi yang bersesuaian berdasarkan teori pembelajaran konstruktivisme terutamanya teori pembangunan sosial (Social Development Theory) yang dipelopori oleh Vygotsky. Tambahan pula, pelaksanaan PAK21 banyak bersandarkan kepada teori ini dan merupakan teori pembelajaran yang digunakan secara meluas untuk membangunkan sumber manusia dan modal insan di sekolah pada masa kini . 

Perspektif Teoritikal 

Konstruktivisme secara asasnya adalah satu teori yang diasaskan kepada pemerhatian dan kajian saintifik tentang bagaimana manusia belajar dan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia (Ormrod, 2014). Teori ini dibangunkan berdasarkan ide bahawa individu secara aktif membina pengetahuan dengan bekerja bersama-sama untuk menyelesaikan masalah (Kamaruddin Hj. Hussin dan Siti Hajar 2004). 

Vygotsky menekankan pentingnya memanfaatkan lingkungan dan persekitaran sosial dalam pembelajaran meliputi aspek manusia, kebudayaan serta segala pengalaman yang diperolehi dalam lingkungan tersebut (Ormrod, 2014). Oleh itu, Vygotsky menekankan peri pentingnya hubungan dan interaksi sosial antara individu dan lingkungan sosial dalam pembentukan pengetahuan dan perkembangan kognitif seseorang. Vygotsky yakin bahawa proses belajar akan terjadi secara lebih berkesan sekiranya para pelajar diberi peluang untuk belajar secara kooperatif dalam suasana dan lingkungan yang mendukung (supportive) dengan bimbingan seseorang yang lebih berpengetahuan seperti guru atau orang yang lebih dewasa (Hammack, 2010; Ormrod, 2014). 

Keyakinan Vygotsky bahawa proses pembelajaran terjadi sekiranya berlaku interaksi sosial yang berkesan antara orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan dengan orang yang dibimbingnya (Ormrod, 2014) menguatkan lagi pegangan bahawa pembelajaran sebegini berupaya untuk membangunkan seseorang individu (Hammack, 2010). Malah, kaedah scaffolding yang menjadi prinsip utama dalam teori Vygotsky turut menyokong ke arah pembelajaran yang lebih bermakna. Scaffolding merupakan satu kaedah bimbingan yang diberi oleh seorang dewasa (contohnya guru) dalam proses pembelajaran melalui soalan-soalan yang berfokus dan interaksi yang bersifat positif (Syazwan Safuan 2008). 

Tuntasnya, teori pembelajaran konstruktivisme terutamanya Social Development Theory yang dipelopori oleh Vygotsky banyak mempengaruhi konsep, pelaksanaan dan perkembangan pendidikan abad ke-21. Banyak aspek dalam teori pembelajaran tersebut telah digunakan bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran untuk membangunkan potensi murid-murid.

 

Pada Bahagian 2 penulis akan memberi perincian bagaimana teori pembelajaran konstruktivisme diaplikasikan dalam membudayakan amalan pembelajaran abad ke-21

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com