Kepimpinan Lima Tahap dan Realitinya di Sekolah

 

Penulisan ini dibuat berdasarkan buku “The Five Levels Of Leadership” yang di tulis oleh John Maxwell. John Maxwell telah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai  Lima Tahap Kematangan Kepimpinan, bermula dari kepimpinan berasaskan kepada kedudukan (Tahap 1) hingga pemimpin tersebut dapat dibangunkan menjadi seorang pemimpin berasaskan penghormatan (Tahap 5). Dalam buku tersebut Maxwell menjelaskan mengapa setiap organisasi memerlukan lebih banyak pemimpin Tahap 5 dan bagaimana setiap individu boleh dibantu untuk sampai ke tahap tersebut. 

Tulisan ini cuba menerangkan bagaimana untuk mengenali pemimpin bagi setiap peringkat kepimpinan,  dan apa yang Pengetua dan Guru Besar, iaitu pemimpin pada peringkat sekolah boleh lakukan untuk berkembang kepada kepimpinan Tahap 5. Satu perkara yang perlu difahami ialah, terdapat situasi di mana seseorang Pengetua dan Guru Besar di sekolah boleh bertindak dengan cara yang berbeza bagi setiap guru atau staf yang anda kendalikan. Misalnya Pengetua dan Guru Besar boleh menjadi seorang pemimpin pada Tahap 3 dengan guru A, namun dalam situasi yang lain pula Pengetua dan Guru Besar tersebut boleh berperwatakan pemimpin Tahap 4 dengan guru B. 

 

Pemimpin Tahap 1 

Pemimpin pada peringkat pertama ialah KEPIMPINAN BERDASARKAN KEPADA KEDUDUKAN (Position Level). Pemimpin yang berada pada peringkat ini memerlukan gelaran jawatan untuk melaksanakan tugasnya. Semua Pengetua dan Guru Besar yang menerima mandat untuk menerajui sekolah berada pada tahap ini. Proses kematangan kepimpinan akan berlaku selepas itu bergantung kepada kompetensi Pengetua dan Guru Besar berkenaan, sama ada dari aspek sikap, pengetahuan mahupun kemahiran. 

Terdapat Pengetua dan Guru Besar yang sangat pantas melepasi tahap ini untuk berada pada tahap berikutnya. Namun ada juga yang sangat perlahan, memakan masa bertahun-tahun untuk bergerak ke tahap yang lebih tinggi. Malah amat malang sekali jika terdapat dalam kalangan Pengetua dan Guru Besar yang langsung tidak menunjukkan peningkatan tahap kematangan kepimpinan dan terus menerus menjeruk pada Tahap 1 hingga ketik perkhidmatan yang terakhir. 

Pengetua dan Guru Besar yang berada padaTahap 1 lazimnya akan menghabiskan kebanyakan masa mereka melindungi kuasa eksekutifnya sendiri melalui pencaturan mikropolitik. Kepimpinan Tahap 1 ini, adalah satu-satunya tahap pemimpin yang tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap warga sekolah. Guru-guru atau stafnya tidak melihat mereka sebagai orang yang menginspirasikan. Oleh itu pemimpin pada tahap ini boleh dikatakan sebagai ketua yang tidak mempunyai watak kepimpinan. Hakikatnya tidak semua ketua adalah pemimpin, tetapi setiap pemimpin adalah ketua. 

Pemimpin Tahap 1 biasanya akan bersendirian di dalam organisasi. Maxwell mengelar pemimpin jenis ini sebagai  “The one-liner, it is lonely at the top” , kerana menurut Maxwell kakitangan bawahan lebih suka untuk mengelak daripada bekerja dengan pemimpin jens ini. Jika berpeluang mereka akan mohon bertukar tempat kerja atau menukar pekerjaan, pokoknya mereka tidak mahu bekerja dengan pemimpin seperti ini. Keadaan ini boleh berlaku di sekolah apabila Pengetua atau Guru Besar lebih suka menujukkan kuasa mereka dengan memberi arahan-arahan, tidak turun padang dan memberikan hanya sedikit ruang untuk menjadi pendengar yang baik serta tidak menjaga kebajikan ahli organisasinya. 

Ada sesetengah sarjana kepimpinan organisasi menggelarkan pemimpin jenis ini sebagai pemimpin ikan kelisa. Ikan kelisa, mempunyai sisik dan warna yang cantik, dan biasanya berada pada akuarium yang juga dihias cantik, terasing dan sentiasa perlu diberi penjagaan dan makanan. Sama seperti Pengetua dan Guru Besar yang telalu menjaga kuasa eksekutifnya hingga tidak bergaul dangan guru-guru, sentiasa menagih layanan berprotokol, memilih untuk sentiasa berada didalam bilik yang selesa daripada menyengsing lengan untuk turun padang, bergaul dengan warga sekolah dan berusaha menyelami denyut nadi keperluan dan kehendak orang bawahannya. 

Ahli organisasi yang bekerja untuk pemimpin Tahap 1, biasanya adalah dalam kalangan mereka yang tidak bermotivasi, kurang produktif dan tidak sanggup untuk menambah walaupun sedikit usaha di tempat kerja. Guru-guru di sekolah pada situasi ini misalnya sangat berkira dalam meluangkan masa mereka dalam melaksasanakan aktiviti-aktiviti sekolah. Sekolahku Rumahku umpama cerita pari-pari yang yang muncul dalam mimpi, jauh dari realiti. Guru-guru hanya melaksanakan kerja rutin yang asas dan tidak mahu terlibat dalam usaha-usaha penambahbaikan. 

Berita baiknya ialah, Pengetua dan Guru Besar yang berada pada Tahap 1 ini, berpeluang untuk membangunkan kapasiti kepimpinan mereka daripada pemimpin Tahap 1 kepada pemimpin tahap yang lebih tinggi. Mendapat lantikan sebagai Pengetua dan Guru Besar adalah satu pengiktrafan bahawa sistem dalam organisasi KPM mempercayai bahawa Pengetua dan Guru Besar selaku pemiimpin di sekolah mempunyai potensi untuk dibangunkan sehingga menjadi pemimpin sebenar (Tahap 5). Namun sebelum memikirkan bagaimana anda harus berperanan untuk menjadi pemimpinTahap 5, maka cabaran yang pertama ialah bagaimana anda terlebih dahulu berupaya membangunkan kapasiti kepimpinan sebagai pemimpin Tahap 2.

 

Pemimpin Tahap 2 

Kepimpinan Tahap 2 ialah mengenai KEPIMPINAN BERASASKAN KEPADA PENERIMAAN. Pada peringkat ini, sebagai Pengetua dan Guru Besar, anda telah mempelajari bahawa mewujudkan perhubungan yang baik dengan warga sekolah dan komuniti amatlah penting sekali. Hubungan dan komunikasi yang baik ini bukan sahaja berjaya mendapatkan komitmen ahli organisasi, tetapi menjadikan mereka lebih bermotivasi untuk berkerja bersama anda, lebih produktif dan menerima anda sebagai pemimpin mereka. Warga sekolah mempercayai anda sebagai seorang pemimpin yang baik, dan kerana itu mereka tiada masalah untuk mengikuti visi anda. Situasi yang terbaik ialah, anda tidak memerlukan sebarang gelaran atau jawatan untuk menjadi seorang pemimpin Tahap 2. 

Hubungan personal yang baik dalam sekolah mewujudkan tenaga, kejelekitan, kepercayaan dan perasaan saling hormat menghormati. Tidak akan wujud persaan terguris atau terhiris hati dalam kalangan ahli organisasi. Langkah paling mudah untuk berkembang kepada kepimpinan Tahap 2 ialah, dengan menunjukkan minat dan keperihatinan yang mendalam terhadap rakan-rakan anda. Pengetua dan Guru Besar perlu sedar, setiap guru dan kakitangan yang bekerja dengan anda  bukan sahaja bekerja di dalam organisasi anda,mereka juga mempunyai keluarga, komuniti, prinsip, dan sifat-sifat peribadi tersendiri. Semua perkara ini perlu dipertimbangkan sebleum anda membuat sebarang keputusan dan tindakan. 

Satu lagi petua yang dikongsikan oleh Maxwell mengenai pemimpin Tahap 2 ini ialah, anda perlu berusaha membantu rakan-rakan anda untuk mengukuhkan kekuatan peribadi mereka. Oleh itu sangat wajar sekali Pengetua dan Guru Besar berusaha mengenali dengan rapat warga sekolah. Proses ini boleh berlaku dalam pelbagai cara bergantung kepada tahap pengetahuan, kemahiran dan sikap anda. Dengan cara ini Pengetua dan Guru Besar akan mempunyai akses yang lebih luas untuk mengetahui apkaha kekuatan guru-guru dan kakitangan sekolah. Seterusnya secara positif anda boleh mengukuhkan kekuatan yang ada pada diri mereka sehingga mereka berupaya menggunakan kekuatan yang ada pada diri mereka secara optimum kepada organisasi. 

Pada sisi negatifnya pula, tidak semistinya kepimpinan Tahap 2 memberikan hasil yang diharapkan terhadap kepimpinan anda. Hal ini demikian kerana, berada di tempat yang hebat (selaku ketua jabatan) untuk bekerja tidak semestinya bermakna anda boleh menjadi pemimpin yang berjaya untuk mencapai keputusan yang dikehendaki. Inilah sebabnya mengapa setiap pemimpin pada Tahap 2 sepatutnya berusaha untuk maju kepada kepimpinan Tahap 3.

 

Pemimpin Tahap 3 

Tahap kepimpinan yang ketiga ialah KEPIMPINAN BERDASARKAN KEPADA KEPUTUSAN. Pada tahap ini, pemimpin mencapai keputusan yang boleh diukur. Salah satu sebab penting mengapa pada peringkat ini dikatakan  Tahap 3 dan bukannya Tahap 2, ialah kerana seseorang tidak boleh mencapai keputusan yang positif dalam jangka masa panjang selagi keperluan peribadi mereka tidak dijaga. Dalam konteks di sekolah misalnya, seorang guru yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang tetapi jika pencapaian tersebut tidak dihargai oleh Pengetua atau Guru Besar, maka guru-guru inilah yang akhirnya berubah hati menjadi guru yang kecewa dan tidak mengambil peduli terhadap kerjayanya (burned-out). Oleh itu Pengetua dan Guru Besar Tahap 3 sentasa menjaga keperluan anggota organisasi dari aspek kebajikan, penghargaan dan keperluannya untuk membangunkan tahap profesionalisme yang lebih tinggi. 

Pemimpin Aras 3 adalah Pengetua dan Guru Besar yang menggunakan hubungan mereka untuk mempengaruhi pengikutnya merealisasikan wawasan mereka. Adalah penting sebagai seorang pemimpin mempunyai keupayaan untuk menjelaskan visi dan dapat menjelaskan mengapa visi tersebut penting kepada organisasi. Bagi memastikan keputusan yang dikehendakai dapat dicapai, Pengetua dan Guru Besar selaku pemimpin perlu menetapkan keutamaan dan membantu ahli-ahli pasukan memilih tugas-tugas yang paling penting. Menurut Maxwell, untuk membantu kakitangannya membangunkan potensi  diri, jenis tugas yang perlu diberikan tumpuan oleh pemimpin kepada anggota kakitangannya adalah seperti berikut: 

a) 80% daripada waktu tugas ditumpukan kepada zon kekuatan,

b) 15% daripada waktu tugas ditumpukan kepada  pembelajaran,

c) 5% daripada waktu tugas ditumpukan kepada zon di luar kekuatan anda, dan

d) 0% dalam lingkungan zon kelemahan anda 

Pemimpin Tahap 3 ialah pemimpin yang disayangi dalam pasukan dan membawa pasukan merealisasikan keputusan yang mahu dicapai. Walau bagaimanapun, kelemahan yang ada pada peringkat ini ialah, hasil akan berkurangan selepas pemimpin itu meninggalkan pasukan, kerana ahli pasukan sangat bergantung kepada pemimpin untuk mencapai keputusan ini. Perkara ini boleh kelihatan dengan jelas di sekolah. Seorang Pengetua dan Guru Besar telah bekerja keras membangunkan prestasi sekolah sehingga sekolah menjadi hebat. Namun apabila Pengetua dan Guru Besar tersebut digerakkan sama ada pertukaran atau persaraan, prestasi sekolah kembali merudum.

 

Pemimpin Tahap 4 

Pemimpin Tahap 3 boleh menjadi seorang pemimpin Tahap 4, iaitu pemimpin yang berupaya untuk membangunkan anggotanya supaya dapat mencapai keberhasilannya mereka sendiri.Tahap kepimpinan yang keempat dipanggil KEPIMPINAN BERASASKAN PEMBANGUNAN STAF. Jika anda mahu bekerja dalam suasana yang seronok, anda perlu bangunkan kepimpinan pada Tahap 2. Jika anda ingin maju sebagai sebuah organisasi, bangunkan kepimpinan Tahap 3. Tetapi jika anda mahu untuk berkembang sebagai sebuah organisasi, pastikan anda berupaya menjadi pemimpin yang melahirkan ramai pemimpin yang berada pada Tahap 4. 

Membangunkan orang lain bermakna bahawa anda sebagai pemimpin perlu sentiasa bekerja untuk mendelegasikan tugas-tugas kepada orang lain. Maxwell mencadangkan untuk mewakilkan tugas anda kepada orang lain ialah apabila anda dapat mengenal pasti seseorang yang boleh melakukan tugas yang sama pada tahap 80% atau melebihi dari kecekapan anda. 

Pemimpin Aras 4 perlu memperuntukkan kira-kira 80% waktu kerja yang ada untuk memberi bimbingan kepada rakan-rakan, dan 20% lagi melakukan tugas-tugas lain yang produktif. Adalah sesuatu yang mustahil untuk membimbing semua orang menjadi pemimpin generasi akan datang. Oleh yang demikian Pemimpin Tahap 4 perlu fokus kepada individu berpotensi tertinggi, biasanya sebanyak 20% daripada keseluruhan kakitangan. Cabaran terbesar pemimpin Tahap 4 ialah bagaimana untuk mendahulukan pembangunan peribadi orang lain sebelum membangunkan diri anda sendiri.

 

Pemimpin Tahap 5 

Peringkat kelima dan tahap akhir kepimpinan dipanggil KEPIMPINAN BERASASKAN KEPADA PENGHORMATAN. Mereka ini adalah pemimpin-pemimpin yang masih disebut-sebut jasanya walaupun mereka telah lama meninggalkan organisasi, sama ada kerana pertukaran atau persaraan. Mereka adalah pemimpin yang meninggalkan legasi. Mereka juga sebenarnya adalah pemimpin-pemimpin yang telah menghabiskan masa mereka untuk melahirkan pemimpin-pemimpin Tahap 4 yang lebih ramai. Matlamat jangka panjang yang paling penting bagi sesebuah organisasi adalah untuk terus membina generasi pemimpin yang berjaya iaitu, seorang pemimpin Tahap 5 perlu menghasilkan lebih ramai pemimpin Tahap 4. 

 

Lima tahap kepimpinan yang telah dibincangkan ini menggambarkan laluan pembangunan personal setiap pemimpin, daripada belajar bagaimana untuk memperbaiki hubungan peribadi dengan ahli-ahli pasukan anda, supaya mereka meyakini visi anda, sehingga berjaya membimbing lebih ramai individu ke peringkat di mana mereka juga membimbing lebih ramai pemimpin. Rantaian kepimpinan ini adalah satu-satunya cara yang berupaya untuk membangunkan organisasi dalam jangka masa panjang atau juga disebut sebagai kelestarian kepimpinan.

 

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com