10 IDEA PRAKTIKAL PEMBELAJARAN ABAD KE-21

 Bahan suntingan;

PEGAWAI SIP+ PONTIAN, JOHOR

 

Menurut Martha Hampson dan rakannya dari Innovation Unit, United Kingdom, terdapat sepuluh (10) idea yang praktikal boleh digunakan  oleh pengurus sekolah untuk melaksanakan pembelajaran abad ke-21 iaitu:

 

Open up lessons  

Menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa yang ditetapkan merupakan masalah utama semua guru di sekolah.  Sama ada murid memperoleh kemahiran tertentu atau sebaliknya menjadi perkara kedua.   Dalam pembelajaran abad ke-21, pembelajaran secara individu atau kumpulan perlu dirancang secara fleksibel dan tidak terlalu rigid.  Murid hendaklah diberi peluang dan masa yang mencukupi untuk menyelesaikan tugasan yang diberi dan seterusnya mencapai objektif yang ditetapkan oleh guru.  Guru pula perlu menyokong dan memantau sepanjang proses pembelajaran. 

Think outside the classroom box 

Menjadi kebiasaan setiap bilik darjah, murid akan duduk dalam barisan di meja masing-masing mengadap guru.  Susunan sebegini dibuat bagi menyenangkan guru menyampaikan maklumat secara berkesan kepada sekumpulan murid. Keadaan ini sesuai apabila guru merupakan sumber utama kepada murid. 

Namun, keperluan kemahiran abad ke-21 seperti penyelesaian masalah secara kolaboratif, teknologi maklumat, literasi maklumat dan ekonomi, memerlukan kaedah pengajaran yang baru.  Peranan guru bukan lagi sebagai penyampai maklumat tetapi membimbing, berbincang, dan mentaksir perkembangan seseorang murid dan seterusnya memberi sokongan.  

Oleh itu, konsep sesebuah bilik darjah lebih kepada bilik sumber di mana maklumat senang diakses dan mempamerkan hasil-hasil kerja murid.  Susunan meja dan kerusi bilik darjah perlu sesuai untuk aktiviti berkumpulan  seperti  perbincangan,  eksperimen dan kajian. 

Get personal 

Selalunya kita menganggap murid yang memerlukan perhatian khusus ialah murid berkeperluan khas (special educational needs) seperti murid masalah pembelajaran (slow learners).  Hakikatnya semua murid sebenarnya memerlukan perhatian khusus kerana mempunyai keupayaan pelbagai.  

Walau bagaimanapun, guru menghadapi kekangan masa untuk menangani keperluan murid secara induvidu.   Dalam pembelajaran abad ke-21, pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) memberi peluang dan tanggungjawab kepada murid melaksanakan projek mengikut minat, kreativiti dan kemahiran masing-masing. 

Tap into students’ digital expertise 

Teknologi telah mengubah cara kita mengakses maklumat. Apa lagi bagi generasi muda yang lahir dalam era teknologi yang canggih.  Generasi sekarang secara semula jadi merupakan seorang penyiasat, penyelidik dan juga pengumpul maklumat.  

Kemahiran-kemahiran ini sepatutnya digunakan oleh guru dalam merancang pembelajaran kendiri (Self-access Learning), pembelajaran berasaskan inquiri (Inquiry-based Learning) dan kerja secara kolaboratif (Peer Collaboration)Hasil kerja murid boleh dijadikan sebagai showcases terbaik apabila projek yang dihasil melibatkan audio, teks, imejan dan video. 

Get real with projects 

Penyediaan sesuatu projek melibatkan tiga (3) langkah penting iaitu proses penyediaan draf (lebih dari sekali),  perbincangan/sumbangsaran/kritikan dan  persembahan/pameran.  Ketiga-tiga proses ini adalah kritikal kerana akan menghasilkan kualiti kerja yang sangat tinggi oleh murid dan juga guru.  Projek sebegini akan memberi pengalaman kepada murid bekerja dalam kumpulan, mengurus masa dan membuat persembahan/pameran kepada rakan lain/guru/ibu bapa atau pihak luar. 

Expect (and help) students to be teachers 

Murid perlu diberi peluang terlibat secara aktif menjadi mentor dan pembimbing kepada rakan sebaya.  Kaedah yang digunakan ini akan lebih relevan dan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran berkomunikasi  dan jati diri murid tersebut. 

Help (and expect) teachers to be students 

Guru sebenarnya sangat ghairah untuk mendapat sebanyak mungkin ilmu bagi meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang pendidikan.  Untuk itu, platform yang sesuai perlu disediakan kepada guru-guru sama ada di peringkat sekolah, daerah atau jabatan.  Pembelajaran melalui kajian perlu menjadi amalan dalam kalangan guru untuk inovasi dan juga peningkatan dalam kualiti pengajaran serta pencapaian murid. 

Measure what matters 

Keupayaan untuk menyimpan maklumat dan fakta menjadi kurang relevan dalam era digital sekarang.  Sebaliknya, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), memperoleh, menganalisis dan menyusun maklumat adalah lebih penting.  Begitu juga dengan kemahiran bekerja dalam kumpulan, mengguna ikhtiar, menyelesai masalah dan kreatif.  Semua kemahiran ini sangat diperlukan dalam abad ke-21. Oleh itu, pentaksiran yang dilaksana oleh guru juga perlu berfokus kepada kemahiran-kemahiran tersebut. 

Power to the student 

Murid merupakan rakan kongsi yang berpotensi dalam pembelajaran.  Melibatkan murid dalam beberapa pengurusan pendidikan (terutama isu yang melibatkan murid) sebenarnya melatih mereka bertanggungjawab, berminat dan menjadi warga negara yang aktif apabila dewasa kelak. Jika ini dilaksanakan, bermakna sekolah telah berjaya mewujudkan budaya di mana semua warga sekolah dilibatkan dalam pendidikan dan pembelajaran. 

Work with families, not just children 

Terdapat hubungan yang signifikan antara penglibatan ibu bapa dengan pencapaian murid.  Penglibatan ibu bapa dan komuniti di sekolah merupakan perkongsian akauntabiliti dalam pencapaian dan pembangunan murid-murid.  Sebagai contoh, Mayfield Primary School di London memberi peluang kepada ibu bapa selama 30 minit untuk belajar bersama dengan anak-anak mereka waktu persekolahan.  

Terdapat sekolah yang melibatkan ibu bapa dalam penyediaan projek oleh anak-anak mereka seperti membuat persembahan atau pameran.  Jaringan sosial seperti Facebook perlu diwujudkan sebagai platform untuk perbincangan dan menyampaikan maklumat terkini kepada ibu bapa tentang program yang dijalankan di sekolah.  

 

 

Print Email

Offers and bonuses by SkyBet at BettingY com